Friday, January 23, 2009

KAMBING HITAM KABURKAN RASUAH UMNO

Oleh Khalid AK

KUALA KRAU: 24 Januari 2009: UMNO mula mengkambing hitamkan beberapa orang ahli dan pimpinan sederhananya untuk mengaburi amalan rasuah atau bahasa pemimpin UMNO sebagai politik wang.

"Penahanan dan pendakwaan yang dilakukan oleh SPRM terhadap beberapa orang ahli UMNO baru-baru ini dianggap sebagai usaha mengaburkan amalan rasuah UMNO yang terdedah selama ini untuk meraih kemenangan samada semasa Pemilihan UMNO atau dalam Pilihan Raya Umum atau Kecil," ujar Sdr Ab. Kadir Manap selaku Ketua Penerangan PKR Bahagian Kuala Krau.

Seterusnya beliau mengatakan, "untuk siapa suapan itu dibuat ? Dari mana wang suapan itu diperolehi ? Ini semua melibatkan kepimpinan UMNO hingga ke akar umbi."

Menurut beliau lagi, "pemimpin atasan membariskan calon-calon kroni mereka untuk mereka terus berkuasa, dengan ini mereka pasti menggunakan agen-agen untuk pencalonan dari cawangan hingga ke bahagian hingga perengkat pusat, maka berlakulah lobi melobi dan suapan."

"PKR bukan mahu campur tak tentu pasal dengan apa yang berlaku dalaman UMNO tetapi penyakit rasuah adalah penyakit yang paling buruk dan jahat, bukan sahaja merosakkan seseorang, atau sesebuah organisasi politik tetapi ianya boleh menjalar kepada kehancuran sesebuah negara jika parti yang memerintah itu mengamalkan rasuah untuk berkuasa," tegas Sdr. Ab. Kadir lagi.

Difahamkan kini mulai ramai ahli-ahli UMNO mencari jalan keluar dari kepompong amalan rasuah UMNO dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat dan parti-parti dalam PAKATAN RAKYAT.

"Apakah dengan penangkapan dan pendakwaan beberapa kerat ahli UMNO, maka UMNO bersih dari politik wang atau rasuah? Jawapannya tidak kerana sudah menjadi amalan UMNO," jelas Sdr. Ab. Kadir.

No comments:

Post a Comment