Monday, January 19, 2009

JAHUT DISAMAN USAHA TANAH PERKAMPUNGAN NENEK MOYANG

Oleh Khalid AK

KAMPUNG PASU: 20 Januari 2009: Seorang lelaki Jahut dari Kampung Pasu, Kuala Krau akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh pada 21 Januari 2009 ini kerana disaman oleh pihak Jabatan Perhilitan.

Menurut Sdr. Baseri Hok seorang penduduk kampung tersebut juga Ketua Cawangan PKR Kampung Pasu dan AJK PKR Bahagian Kuala Krau, bahawa lelaki yang disaman itu atas tuduhan meneroka tanah hutan milik Jabatan Perhilitan.

Namun begitu difahamkan lelaki tersebut mengusahakan semula tanah kampung peninggalan nenek moyang mereka yang pernah berkampung di kawasan seberang Sungai Krau.

"Pihak kami Orang Asal dari suku Jahut di sini akan memberikan sokongan kepada rakan kami yang disaman itu, kerana itu kami akan mengiringnya ke Mahkamah Temerloh sekurang-kurangnya seramai sebuah bas yang kami sewa," jelas Sdr. Baseri Hok.

Beliau juga meminta supaya rakan-rakan dari luar kawasan perkampungan Orang Asal di sini memberikan sokongan kepada penduduk yang teraniaya itu.

Dijangka Ketua PKR Bahagian Kuala Krau Sdr Haji Suhaimi Said bersama Ketua Penerangan PKR Bahagian Kuala Krau Sdr. Ab. Kadir Manap akan bersama-sama penduduk Kampung Pasu untuk memberikan sokongan kepada mangsa kezaliman Kerajaan Barisan Nasional itu.

No comments:

Post a Comment